SEARCH

Wednesday, July 16, 2008

Adat untuk cantik-Telinga Panjang

Berita Harian (16-07-2008)
Oleh Kandau Sidi

Tradisi cuping telinga panjang wanita Oran Ulu dibimbangi pupus kerana tidak diminati generasi muda

LAGI panjang cuping telinga, lagi cantik. Itulah pandangan suku kaum Orang Ulu terhadap tradisi bertelinga panjang di kalangan wanitanya. Malah telinga panjang umpama 'permata' bagi wanita suku kaum itu untuk memikat lelaki supaya berkeinginan mengahwininya. Itulah kelebihan wanita bertelinga panjang di Sarawak. Namun, itu cerita dulu, sekarang generasi muda Orang Ulu tidak lagi berminat mengamal dan meneruskan tradisi berkenaan.

Sebabnya, mereka sudah terdedah kepada perubahan masa dan malu untuk berbuat demikian. Pendek kata, hanya tinggal generasi tua masih mewarisi tradisi itu. Apapun hakikatnya, seperti wanita moden sekarang wanita Orang Ulu sekitar 1970-an terbukti sudah lama meminati perhiasan diri. Perhiasan unik berkenaan ialah pemakaian 'anting-anting loyang' (anting-anting tembaga) yang berat. Anting-anting itu dipakai wanita termasuk juga lelaki bertujuan memanjangkan cuping telinga mereka.

Cuping telinga yang panjang melambangkan kecantikan wanita Orang Ulu, selain menambahkan penampilan mereka. Secara tradisi, ibu bapa mula menebuk dan meregang cuping telinga bayi mereka yang masih berumur beberapa bulan dengan memakai anting-anting loyang berat diperbuat daripada tembaga atau anting-anting lain. Berat anting-anting baru akan ditambah dari semasa ke semasa untuk terus meregangkan cuping telinga, selalunya sehingga ke paras bahu si pemakai. Wanita Orang Ulu menganggap semakin panjang cuping telinga mereka, semakin menyerlah kecantikan mereka. Walaupun sekarang tradisi meregangkan cuping telinga tidak lagi diamalkan generasi muda, namun ia satu warisan yang tidak dapat dilupakan. Bagi, Imang Jalong, 77, berasal dari Long Bemang, Baram, Utara Sarawak, memiliki cuping telinga panjang menjadi satu kebanggaan bagi dirinya.

"Bukan senang untuk memiliki cuping telinga panjang. Proses memanjangkan cuping telinga bukan saja rumit, malah menyakitkan. Tetapi apabila ia sudah mencecah paras bahu kepuasan tidak dapat digambarkan. Setiap wanita Orang Ulu jadi bangga jika memiliki cuping telinga panjang," katanya kepada Ratu ketika ditemui baru-baru ini. Menceritakan mengenai proses memanjangkan cuping telinga, Imang berkata, emaknya mula mencucuk cuping telinganya ketika berusia dua tahun. "Dia (emak) cucuk gunakan buluh yang ditajamkan seperti jarum. Pada awalnya memang menyakitkan. Telinga berdarah dan bernanah beberapa hari akibat dicucuk. Kemudian digantung pula dengan anting-anting loyang (anting-anting tembaga) yang berat supaya cuping telinga memanjang.

Dulu kita terpaksa gunakan buluh yang diperbuat seperti jarum kerana kesukaran mencari jarum sebab harga agak mahal. "Apapun ia (memanjangkan cuping telinga) adalah satu proses yang lama. Bukan sehari dua, malah bertahun-tahun," katanya sambil menunjukkan cuping telinga yang sudah pun mencecah paras bahu. Seperti Imang rakan sebayanya, Runung Jok, 77, berkata sekarang generasi muda tidak lagi berminat meneruskan tradisi berkenaan. "Pendek kata, apabila kami sudah tiada (meninggal dunia) warisan ini akan lenyap untuk selama-lama. Cucu-cucu kami tidak berminat meneruskan tradisi ini," katanya yang tidak menyalahkan generasi muda kerana enggan mewarisi tradisi itu.

Beliau berkata, pada peringkat awal anting-anting loyang digunakan sebagai pemberat dianggarkan seberat 100 gram. Beratnya kemudian diubah dari semasa ke semasa sehingga mencecah 500 gram sepasang. Anting-anting berkenaan akan dipakai waktu siang hari dan akan dibuka pada waktu malam. Kebiasaannya, mereka menggunakan tembaga kerana ia kekuningan bersinar dan menyerupai warna emas. Saiz dan bentuknya pelbagai, ada yang menyerupai gelang dan ada juga berbentuk bulat dan bujur.

Bagi nenek kepada enam cucu dari Tinjar, Baram, yang sudah lama berhijrah ke bandar raya Miri kerana mengikut anaknya, Jumis Lasam, 76, tidak ramai wanita Orang Ulu sama ada Kayan, Penan atau Kelabit yang masih memakai anting-anting loyang. "Dulu, ia biasa dipakai waktu ada majlis keramaian seperti sambutan Gawai Dayak, Krismas, dan perayaan lain di rumah panjang. Jika pergi ke bandar, kita jarang pakai anting–anting kerana bimbang ia diragut. Ini kerana pernah berlaku kes anting-anting loyang wanita Orang Ulu diragut, mungkin disangka ia anting-anting emas. "Sebab itu, jarang kita lihat wanita Orang Ulu pakai anting-anting berkenaan di bandar. Berbeza situasinya di rumah panjang," katanya sambil menambah hanya wanita Orang Ulu mengamalkan tradisi itu, tetapi wanita Iban tidak berbuat demikian.

Ketika ini dianggarkan hanya ada ratusan wanita Orang Ulu, khususnya di utara Sarawak terdiri daripada generasi tua masih kelihatan menyimpan cuping telinga panjang. Persatuan Orang Ulu Sarawak (Ouna) tidak menolak kemungkinan tradisi itu akan lenyap selama-lamanya apabila generasi tua itu sudah tiada. Sehubungan itu, persatuan itu mahu supaya satu usaha dilakukan kerajaan dan pihak berkaitan untuk mengumpul maklumat secara terperinci bagi merekodkan tradisi itu sebelum ia lenyap.

INFO: Tujuan memanjangkan cuping telinga
-Untuk kelihatan cantik.
-Memikat lelaki.
-Satu seni kecantikan diri.
-Lambang kemewahan.
-Memakai anting-anting tradisi.
-Warisan kebangaan suku kaum Orang Ulu.

No comments: