SEARCH

Loading...

Sunday, June 8, 2008

Bahasa Kenyah menyamai Melayu

BAHASA Kenyah yang dituturkan oleh kelompok semi nomandik di Borneo, mempunyai hubungan dengan bahasa Melayu meskipun pertaliannya sudah jauh dan belum begitu menarik minat pengkaji.Contoh persamaan yang boleh dilihat di antara kedua-dua bahasa ini ialah perkataan mati menjadi matai, mata (mata), hidung (ndong), lengan (lengen), dua (dua), empat (pat), lima (lemma), enam (enem) dan sepuluh (pulo).

Dapatan awal itu diperolehi calon doktor falsafah di Institut Alam dan Tamadun Melayu (Atma), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Antonia Soriente, 33, gambar yang melakukan kajian berhubung Posisi Linguistik Bahasa Kenyah dalam Keluarga Austronesia.Kajian itu adalah susulan kajian peringkat ijazah sarjana dan bertujuan mencari klasifikasi dan pengelompokan bahasa Kenyah dalam keluarga Austronesia (Melayu Polenesia).Antonia berkata, bahasa Kenyah (sejenis bahasa dayak) adalah salah satu daripada sekian banyak bahasa di Borneo (Kalimantan) dan dituturkan lebih 40,000 penutur di Kalimantan Timur dan Sarawak."Bahasa Kenyah adalah satu kelompok bahasa yang memiliki tingkat variasi yang sangat tinggi dan kelompok yang menggunakannya tidak mempunyai tradisi bertulis," katanya dalam satu pertemuan di Bangi, baru-baru ini.

Selain itu, katanya, data sedia ada mengenai bahasa Kenyah sangat terbatas dan ia tidak pernah dikaji secara mendalam, menyebabkan klasifikasi pengelompokannya yang ada sekarang sangat kabur.Bagi memastikan dapatan kajiannya mengenai bahasa itu kemas kini, Antonia akan turut meneliti bahasa lain sekitarnya termasuk bahasa Kayan, Saban, Benuak, Basang dan Penan.Menurutnya, hampir semua generasi muda yang menuturkan bahasa Kenyah boleh bertutur dalam bahasa Melayu mahupun Indonesia, dan ini memudahkan beliau untuk berkomunikasi."Selepas empat bulan melakukan kerja lapangan, kini saya boleh melakukan komunikasi asas dalam bahasa Kenyah dan tentunya ini lebih memudahkan lagi tugas pengumpulan data," katanya.

Antonia menganggap kajiannya itu penting kerana ia memberi sumbangan kepada permasalahan bahasa di dunia, tetapi tidak berharap kajiannya itu dapat memberi penyelesaian yang total."Melalui kajian ini, setidak-tidaknya saya dapat mengumpulkan data terkini berhubung bahasa Kenyah, dan saya berharap dapat menyusun Kamus Kenyah-Melayu selain menyedarkan masyarakat sasaran betapa pentingnya menggunakan bahasa sendiri," katanya.Antonia berkata, pengamatannya menunjukkan bahawa bahasa Kenyah belum menunjukkan sebarang tanda akan musnah, tetapi jika tindakan sewajarnya tidak diambil, kemungkinan itu akan berlaku dalam masa 10 atau 20 tahun akan datang, kesan daripada arus globalisasi dan pembangunan bahasa masa kini."Saya berpegang kepada pendirian bahawa bahasa Melayu/Indonesia sebagai bahasa nasional boleh hidup bersama dengan bahasa daerah, dalam wilayah yang sama dan ini termasuk bahasa Kenyah," ujarnya.

Antonia yang begitu menyenangi kehadiran pelbagai dialek bahasa Melayu di negara ini, memperolehi ijazah sarjana muda di Itali dalam bidang bahasa dan sastera asing dan pernah belajar bahasa Inggeris, Perancis dan Indonesia di Instituto Universitario Orientale (Napoli) sebelum melanjutkan pelajaran peringkat sarjana di Indonesia."Saya memilih Malaysia bagi ijazah doktor falsafah, kerana mahu menukar sistem pembelajaran, memanfaatkan kemudahan bahan rujukan di perpustakaan negara ini, dan mengakui bahawa Malaysia mempunyai pusat linguistik bandingan yang bagus," katanya.Beliau berharap dapat mengembangkan pusat pengajian bahasa Melayu/Indonesia di negaranya yang tidak begitu mendapat tempat pada masa ini berbanding pengajian Jepun, Korea, China, India dan Afrika

No comments: